Powered By Blogger

Thursday, April 8, 2010

KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS

DEFINISI

Maksud definisi menurut kamus dewan edisi ke 3 ialah kenyataan yg ringkas dan padat bagi menjelaskan konsep atau makna sesuatu kata, frasa dan lain-lain takrif. Dalam topik ini akan membincangkan definisi kanak-kanak berkeperluan khas dan definisi masalah bahasa dan komunikasi.

Kanak-kanak berkeperluan khas

Kanak-kanak berkeperluan khas adalah merujuk kepada kanak-kanak yang memerlukan perhatian dan penjagaan yang berbeza berbanding dengan kanak-kanak normal. Kanak-kanak ini berbeza daripada kanak-kanak normal dari segi ciri-ciri mental, keupayaan deria, keupayaan berkomunikasi, tingkah laku dan emosi dan ciri-ciri fizikal.

Kirk et al (1993) menjelaskan difinisi kanak-kanak berkeperluan khas sebagai kanak-kanak yang berbeza dari kanak-kanak sederhana atau biasa dalam ciri- ciri mental

keupayaan-keupayaan deria dalam ciri-ciri saraf dan otot atau fizikal dalam tingkahlaku

sosial atau emosi dalam keupayaan komunikasai atau dalam pelbagai kekurangan sehinggakan ia memerlukan amalan-amalan sekolah yang diubahsuai atau perkhidmatan pendidikan khas, supaya ia boleh berkembang sehingga kemampuan yang maksimum.

Menurut Jamila (2005), kanak-kanak khas berbeza dalam aspek ciri-ciri mental, keupayaan sensori atau deria, keupayaan komunikasi, tingkah laku sosial dan ciri-ciri fizikal. Oleh yang demikian kanak-kanak khas memerlukan modifikasi atau perubahan dalam aktiviti-aktiviti sekolah ataupun perkhidmatan pendidikan khas bertujuan mengembangkan potensi diri kanak-kanak khas ke tahap yang optimum dan tidak terabai seperti kanak-kanak normal.

McDonnell et a (1995) menglkasifikasikan murid berkeperluan khas kepada rencatan akal, gangguan tingkah laku, autisme, gangguan pembelajaran, kecacatan deria serta kecacatan fizikal dan kesihatan yang lain. Ada juga yang yang mempunyai gangguan yang pelbagai seperti rencatan akal dan gangguan tingkah laku.

Garciulo (2003) pula mendefinisikan kanak-kanak berkeperluan khas seperti yang di bawah;

"Individuals who differ from societal or community standards of normalcy. These differences may be due to significant physical, sensory, kognitif, or behavioral characteristics. Many of these children may require educational programs customized to their unique needs."

Akta Pendidikan 1996 seksyen 312 (Farrel. 2003) menyatakan kanak-kanak itu dikatakan memerlukan keperluan khas jika mereka mempunyai masalah dalam aspek pembelajaran yang memerlukan peruntukan pendidikan khusus terhadap mereka. Mereka dikatakan menghadapi masalah dalam aspek pembelajaran jika mereka:

1. mempunyai masalah pembelajaran yang yang besar berbanding kanak-kanak sebaya dengannya,

2. mempunyai kecacatan yang menghalangnya menggunakan kemudahan pendidikan yang digunakan oleh kanak-kanak yang sebaya dengannya.

3. Adalah di bawah umur wajib bersekolah dan berada di kategori (2) di atas.

Sheila & Samsilah (2006) mengkategorikan murid berkeperluan khas adalah kanak-kanak yang memerlukan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berbeza daripada murid biasa. Murid berkeperluan khas terbahagi kepada murid bermasalah penglihatan, bermasalah pendengaran dan bermasalah pembelajaran (Maklumat Pendidikan Khas 2003 dalam Sheila & Samsilah 2006).

Kanak-kanak berkeperluan khas dianggap kanak-kanak yang dianggap berhadapan dengan batasan keupayaan dengan sendirinya bagi memperoleh keperluan biasa dan untuk hidup bermasyarakat kerana had fizikal dan mentalnya (Mahmood Nazar, 2000).

Kesimpulannya, kanak-kanak berkeperluan khas dapat dimaksudkan dengan kanak-kanak yang mempunyai masalah dalam pembelajaran dan mereka memerlukan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berbeza berbanding dengan kanak-kanak biasa.

Masalah bahasa dan komunikasi

Masalah bahasa ialah kelemahan lisan dan tulisan. Ia juga melibatkan kelemahan dalam bentuk bahasa, kandungan bahasa dan pragmatik bahasa.

Komunikasi ialah proses penyampaian atau pemindahan mesej dari seorang kepada yang lain.

Ia juga adalah proses mewujudkan kefahaman orang lain mengenai mesej yang disampaikan

dan kedua-duanya mempunyai kefahaman yang dikongsi bersama.

Komunikasi normal biasanya bergantung kepada pertuturan dan bahasa. Pertuturan ialah kemampuan mengeluarkan bunyi-bunyi yang difahami seperti perkataan dan ayat. Bahasa pula merupakan apa yang orang lain nyatakan dan kemampuan menggambarkan dalam pemikiran bentuk simbolik seperti perkataan ataupun pergerakan yang mewakili perkataan. Masalah komunikasi mungkin berpunca dariada masalah pertuturan, masalah bahasa ataupun keduanya sekali.

Pertuturan ialah gabungan bunyi-bunyi bahasa yang dilafazkan atau dihasilkan oleh alat-alat artikulasi dan dapat diungkapkan dengan sempurna. Ia berlaku pada peringkat penglahiran atau produktif level. Ia berlaku setelah si penutur dapat mendengar dan memahami dengan baik apa yang diperdengarkan. Individu lebih banyak bertutur melalui pengalaman daripada kecergasan otak

Kemahiran bertutur merujuk kepada keupayaan pelajar menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif secara lisan dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan pada keyakinan pelajar untuk bertutur serta penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai. Namun begitu, murid berkeperluan khas mengalami masalah bahasa.

Masalah pertuturan yang dialami oleh kanak-kanak memberi kesan terhadap bunyi yang dikeluarkan. Perbezaan cara kanak-kanak bercakap menjadi suatu masalah apabila pertuturannya tidak dapat difahami oleh orang lain yang mendengar. Kanak-kanak yang mengalami masalah pertuturan ini juga mengalami masalah lain seperti sumbing, palsi serebrum, dyspraxia dan masalah pendengaran. Antara ciri-ciri kecacatan ini ialah :

1. Lewat dalam kemampuan mengeluarkan bunyi da menggunakan bunyi dalam perkataan disebabkan masalah artikulasi ataupun fonologi.

2. Mempunyai suara yang kasar.

3. Tiada bunyi yang keluar apabila kanak-kanak cuba bercakap.

4. Bunyi sengaun ataupun bunyi dengungan walaupun kanak-kanak tidak menghadapi penyakit lain.

5. Gagap iaitu kanak-kanak mengulang perkataan yang sama beberapa kali.

Kanak-kanak yang mengalami masalah pertuturan tidak mampu menyatakan keperluan, kehendak dan perassan mereka kepada orang lain. Hal ini seterusnya menjejaskan pembelajaran dan interaksi mereka dengan orang lain. Apabila orang sekeliling tidak tidak memahami apa yang mereka sampaikan, mereka akan merasa kecewa seterusnya menunjukkan tingkah laku yang agresif. Biasanya kanak-kanak yang mengalami masalah pertuturan mengalami masalah dalam bersosial kerana diabaikan rakan-rakan yang lain kerana tidak faham apa yang mereka tuturkan. Keadaan ini seterusnya membuatkan perkembangan bahasa kanak-kanak lambat terutamanya dalam kemahiran interaksi sosial kerana peluang untuk mereka berinteraksi terhad.

Masalah perkembangan bahasa pula mungkin terjadi dalam bahasa reseptif iaitu kemampuan memahami dan mengingat apa yang dikatakan oleh orang lain atau dalam bahasa ekspresif iaitu kemampuan untuk menyatakan idea dalam perkataan ataupun simbol. Masalah dalam aspek bahasa terbahagi kepada dua iaitu :

1. Perkembangan lambat: melibatkan kemahiran berbahasa yang berkembang dalam kadar yang lambat tetapi dalam urutan normal bagi aspek bahasa seperti pembentukan perkataan, ayat dan perbualan. Keadaan persekitaran rumah yang tidak menyumbang kepada masalah perkembangan bahasa meruapakan salah satu faktor lewat perkembangan bahasa.

2. Kecacatan bahasa. Ia dapat dikesan semasa aktivti pengajaran dijalankan. Kanak-kank ini dapat dikesan dengan tanda-tanda seperti ayat yang digunakan tidak berkaitan dengan perbualan misalnya memberi jawapan yang tidak sesuai dengan soalan. Mereka juga tidak menggunakan tatabahasa yang tidak tepat, sukar mengingat sesuatu nama dan percakapan mereka terganggu kerana tidak mengetahui perkataan untuk disebut.

BAHASA DAN KOMUNIKASI KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS

Terdapat 4 kategori kanak-kanak berkeperluan khas iaitu bermasalah pendengaran, bermasalah penglihatan, bermasalah pembelajaran dan pelajar berbakat atau pintar cerdas.

i) Bermasalah pendengaran

Murid yang menghadapi masalah pendengaran ialah murid yang pendengarannya tidak jelas dan memerlukan alat bantuan mendengar. Murid yang mengalami masalah ini perkembangan pertuturan dan bahasanya akan terganggu dan lambat. Kanak-kanak tidak langsung dapat mendengar pula akan juga tidak dapat bercakap (bisu).

Mereka yang menghadapi kesukaran mendengar atau kekurangan pendengaran yang jelas ( Bee H. 1995).

Menurut International Encylopedia Volume 5 (1975) , cacat pendengaran bermakna kehilangan atau kekurangan daya pendengaran pada satu telinga atau kedua-keduanya kekurangan atau kehilangan daya pendengaran.

ii) Bermasalah penglihatan

Kanak-kanak bermasalah penglihatan dikategorikan kepada dua iaitu buta yang langsung tidak dapat melihat dan separuh buta yang kabur penglihatan. Kanak-kanak ini belajar melalui deria sentuhan, pendengaran, menghidu dan merasa. Mereka menggunakan tulisan Braille untuk membaca dan tongkot untuk bergerak ke sesuatu tempat. Dapat disimpulkan bahawa:

Ø Definisi masalah penglihatan dari segi pendidikan bermaksud sekumpulan kanak-kanak yang memerlukan pendidikan khas kerana masalah penglihatan

Ø Kaedah penyampaian pembelajaran dan bahan bantu mengajar perlu diadaptasikan dengan keperluan kanak-kanak ini supaya dapat mengoptimakan pembelajaran dan pencapaian mereka(Barrage 1992)

iii) Bermasalah pembelajaran

Kanak-kanak bermasalah pembelajaran ialah kanak-kanak yang tekah dikenal pasti dan disahkan oleh pakar-pakar klinikal sebagai mengalami kecacatan yang mengganggu proses pembelajaran. Kanak-kanak ini mengalami masalah seperti berikut:

lambat untuk menguasai kemahiran berkomunikasi

lambat berkembang persepsi pendengaran dan penglihatan

menghadapi kesukaran untuk membaca, mengeja, menulis dan mengira.

Kanak-kanak ini memerlukan perhatian dan keprihatinan yang lebih daripada masyarakat terhadap masalah yan mereka hadapi supaya dapat menjalani kehidupan seharian bersama orang lain.

iv) Pintar cerdas

Mengikut Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia, kanak-kanak pintar cerdas ialah kanak-kanak yang maju atau berbakat dalam pelajaran dan boleh menerima pelajaran lebih awal atau lebih cepat daripada pelajar normal. Kanak-kanak ini dianggap mempunyai kebolehan luar biasa.

Dalam topik ini akan membincangkan mengenai dua kategori kanak-kanak berkeperluan khas di bawah masalah pembelajaran iaitu kanak-kanak yang mengalami sindrom down dan juga lembam. Antara yang akan dibincangkan termasuklah punca berlaku sindrom down dan lembam, ciri-ciri yang ditunjukkan oleh kanak-kanak ini, masalah bahasa dan komunikasi, masalah lain yang dihadapi mereka dan lain-lain lagi.

Sindrom down

Sindrom bermakna kehadiran sekumpulan gejala dan tanda yang boleh menunjukkan kepada sesuatu penyakit. Sindrom ini mengambil nama seorang doktor Inggeris bernama Dr. Langdon Down iaitu orang pertama yang menjelaskan penyakit ini pada tahun 1866. Kadar kejadian keseluruhannya ialah satu pada setiap 800 kelahiran. Berdasarkan kajian, risiko melahirkan anak sindrom down menjadi tinggi dilahirkan oleh ibu yang berumur 35 tahun ke atas.

Sindrom Down berlaku adalah disebabkan oleh keadaan kromosom yang abnormal. Sindrom Down ialah penyakit keturunan disebabkan oleh kromosom tambahan pada kromosom nombor 21 yang terdapat pada seseorang kanak-kanak. Tiga salinan kromosom 21 terdapat dalam setiap satu sel yang biasanya hanya mempunnyai dua salinan. Penyakit ini juga dikenali sebagai Trisomy 21.

Kanak-kanak sindrom down dapat dikesan sejak lahir kerana ciri-ciri fizikal mereka jelas menunjukkan kategori ini. Ciri-ciri fizikal kanak-kanak ini adalah mata condong ke bawah atau ke atas, belahan kelopak mata pendek dan terdapat lapisan kulit di dalam mata, bentuk muka leper, kepala lebih kecil daripada kebiasaan, bentuk leher lebih pendek dan lain-lain lagi. Biasanya kanak-kanak ini cenderung menjadi gemuk dan lebih rendah berbanding rakan sebaya mereka.

Dari segi emosi, kanak-kanak ini mengalami terencat akal sama ada ringan, sederhana, teruk dan sangat teruk. Kanak-kanak sindrom down ringan masih boleh dididik. Menangis merupakan isyarat utama kanak-kanak ini dan mereka juga mempunyai masalah pendengaran. Kanak-kanak sindrom down merupakan kanak-kanak yang manja dan memerlukan perhatian seperti suka dipeluk. Kadangkala mereka mempunyai masalah yang lain iaitu hiperaktif dan masalah tumpuan singkat (Jamila 2005).

Masalah bahasa kanak-kanak Sindrom Down.

Kanak-kanak SD menghadapi masalah memproses dan mengingati maklumat verbal. Pada hakikatnya, kebolehan belajar untuk berkomunikasi menggunakan bahasa mempunyai impak terhadap perkembangan kanak-kanak termasuklah perkembangan sosial dan emosi, serta kebolehan kognitif. Kita menggunakan kata untuk membina pengetahuan, berfikir, menaakul, mengingati, dan berkomunikasi dengan dunia di sekitar kita. Terdapat dua jenis pemerolehan bahasa, iaitu pertama, menggunakan kata (bahasa ekspresif) dan kedua, memahami kata (bahasa reseptif).

Kajian ini mendapati kanak-kanak Sindrom Down merupakan pelajar visual (lihat) daripada pelajar auditori (dengar). Oleh itu, kajian ini mendapati bahawa perkembangan kemahiran bahasa verbal disokong oleh penggunaan bahasa bukan verbal seperti gerak badan, bahasa isyarat, tanda, gambar postur dan sebagainya supaya dapat memperkembang bahasa kanak-kanak tersebut.


Lembam (Slow Learner)

Brennan (1974) mendefinisikan murid lembam sebagai murid yang gagal melaksanakan kerja normal sekolah seperti kumpulan sebaya mereka tetapi kegagalan mereka tidak boleh dikatakan disebabkan oleh kecacatan. Murid lembam selalunya kurang aktif dan kurang berminat untuk menyertai kegiatan pelajaran di dalam bilik darjah.

Jamila (2005) menyatakan kanak-kanak lembam dikenali sebagai kanak-kanak yang memerlukan pendidikan kelas pemulihan. Selalunya kanak-kanak ini dikenal pasti pada peringkat awal setelah mendapati tidak dapat menguasai kemahiran membaca menulis dan mengira dalam pendidikan. Walau bagaimanapun adalah sukar untuk menyediakan garis pemisah yang jelas di peringkat awal perkembangan kanak-kanak antara kanak-kanak normal dengan kanak-kanak lembam kerana permasalahan mereka tidak begitu ketara. Hanya selepas mereka memasuki alam persekolahan permasalahan mereka dapat dikesan.

Kanak - kanak ini tidak boleh mengikuti pelajaran di kelas atau kurikulum atau belajar di sekolah biasa. Mereka ini terlalu lambat untuk mencapai satu - satu objektif pengajaran yang mudah atau objektif jangka pendek dan juga mempunyai daya rangsangan serta daya pengamatan yang lemah dan rendah.

Menurut Messe (2001) dalam modul Universiti Terbuka Malaysia, keupayaan intelektual kanak-kanak ini berada tahap sederhana iaitu pada tahap 85 atau lebih di dalam skor ujian saringan kecerdasan. Mereka juga mempunyai masalah dalam memberi perhatian, mengumpul atau memproses maklumat yang diterima di dalam ingatan mereka.

Di samping itu, kanak-kanak lembam mudah hilang tumpuan, mudah membuat kesalahan akibat kecuaian, sukar untuk menyiapkan tugasan dan kepayahan membuat tugasan yang berturutan. Di dalam mata pelajaran matematik, mereka menunjukkan kesukaran dalam mengingati simbol-simbol yang digunakan dan mengingati turutan proses dalam penyelesaian matematik (Jamila 2005).

Disebabkan masalah kurang tumpuan, sukar memproses maklumat, sukar menyiapkan tugasan dan lain-lain lagi menyebabkan mereka mempunyai masalah sosial-emosi. Tingkah laku kanak-kanak lembam sering mengganggu rakan-rakan.


Ciri–ciri kanak –kanak lembam adalah

pencapaian pelajaran atau akedemik berbeza. Kanak-kanak ini pendiam, tidak aktif dan tidak banyak cakap dan sukar menerima arahan. Mereka tidak dapat berkomunikasi seperti kanak-kanak biasa. Menyebut huruf-huruf yang tidak tepat dan salah dan selalu bertukar-tukar huruf. Ketika membaca dan menulis, mereka akan meninggalkan huruf,sukukata atau perkataan dan kerap melakukan kesalahan dalam ejaan dan tanda bacaan. Tulisan kanak-kanak lembam selalunya buruk dan sukar dibaca apabila mereka menulis tanpa ketetapan sama ada menaik dan menurun, menulis huruf terbalik atau turutan dan arah yang salah. Perbendaharaan kata yang terhad dan tatabahasa yang tidak tepat.

Punca berlakunya masalah pembelajaran.

Punca ini boleh pdibahagikan kepada dua kategori iaitu punca biologi yang merangkumi faktor-faktor baka dan penyakit -penyakit yang menjejaskan fungsi otak dan urat saraf. Kekurangan oksigen sewaktu kelahiran , lembam lapisan otak dan sawan yang berpanjangan disfungsi urat saraf. kandungan plumbum yang tinggi dalam darah seseorang kanak -kanak wujudnya masalah pembelajaran. Kedua ialah punca psikososial Pengaruh sekitaran yang tidak sihat kurang rangsangan dan kurang perhatian ibu bapa kepada kanak-kanak dan juga kemiskinan hidup

Masalah bahasa kanak-kanak bermasalah pembelajaran

Dari segi fonologi, kanak-kanak bermasalah bahasa ini mengalami masalah untuk mengeluarkan kata. Menghadapi masalah dari aspek pendengaran dan sistem saraf mulut yang tidak normal. Juga mengalami masalah untuk menyebut perkataan dengan jelas dan bunyi yang betul. Menggunakan bacaan bibir untuk memahami pertuturan .

Bagi morfologi, mereka tidak boleh menggunakan bahasa atau penggunaan perkataan yang betul dalam pertuturan seharian mereka. Mereka mengambil masa yang lama untuk menguasai kemahiran menyebut kata-kata. Selain itu, menghadapi masalah untuk menggunakan ayat yang panjang kerana penambahan purata panjang ujarannya amat lemah. Mereka juga mengalami masalah kelewatan di dalam pemerolehan bentuk kata kerja yang betul.

Dalam sintaksis, kanak-kanak bermasalah pembelajaran gagal memberitahu maklumat yang dikehendaki. Mereka jarang sekali bertanya atau meminta penjelasan yang lebih lanjut sekiranya tidak memhami sesuatu. Mereka lebih suka mendiamkan diri daripada melibatkan diri di dalam perbualan.

Dari segi sematik, kanak-kanak ini mengalami kesukaran untuk memahami makna perkataan mengikut kategori, kuantiti, ruang, dan masa yang diajarkan kepada ereka. Oleh sebab itu mereka mengambll masa yang panjang untuk memahami sesuatu makna. Mreka juga mempunyai masalah kekurangan perbendaharaan kata secara kualitatif dan kuantitatif.

Dalam bidang pragmatik pula, mereka menghadapi kesukaran dalam menentukan giliran di dalam perbualan mereka. Oleh sebab itu, mereka akan bercakap bila-bila masa sahaja tanpa menunggu giliran mereka untuk bercakap.


KAEDAH INTERVENSI

Kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan pengesanan pada peringkat awal lagi bagi membolehkan mereka mengikuti suatu sistem persekolahan yang terancang bagi mengembangkan potensi diri mereka.

Setiap kanak-kanak perlu diberi intervensi awal iaitu satu program yang tersusun, berstruktur, dan berperingkat. Intervensi awal mendidik kanak-kanak bekeperluan khas dari masa lahir hingga prasekolah. Selain itu juga melibatkan kolaborasi pelbagai disiplin (Zarin, Safani & Soon 2004).

Intervensi awal ini juga memberi kesan positif pada perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas antaranya ia dapat member pendekatan penambahan komunikasi. Sesetengah individu memerlukan intervensi melalui kaedah komunikasi selain daripada bahasa lisan. Selain itu, dalam sesetengah kes, individu tersebut tidak boleh bertutur disebabkan oleh masalah fizikal atau keupayaan kognitif. Oleh itu, kaedah komunikasi yang tidak melibatkan pertuturan hendaklah direka dan dilaksanakan untuknya.

Di Amerika syarikat, program intervensi dijalankan melalui kerjasama di antara agensi seperti perkhidmatan dan bantuan teknologi, perkhidmatan jururawat sekolah, latihan dan kaunseling ibu bapa, perkhidmatan pemakanan nutrisi, program kebudayaan dan kesenian, terapi cara kerja dan terapi bahasa dan pertuturan.

Guru perlu mempunyai pengetahuan yang luas supaya dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Selain itu, kemahiran mengurus tingkah laku akan dapat membantu guru mengawal dan membentuk tingkah laku muridnya. Oleh itu guru perlu bijak menyusun teknik dan strategi untuk membentuk tingkah laku positif dari murid-murid berkeperluan khas ini.

Dari aspek bahasa pula, cadangan kaedah intervensi adalah dari segi fonologi, langkah intervensi yang boleh diambil ialah dengan menjalankan terapi pertuturan seperti meniup belon, meniup ke dalam air dengan menggunakan straw, menjilat lolipop menggunakan lidah, menjilat ais krim serta pernafasan iaitu dengan menahan nafas di dalam air. Teknik ini secara tidak langsung sebagai senaman untuk menguatkan otot mulut.

Bagi morfologi pula, intervensi yang hendak dilakukan perlu mengambil kira kecerdasan dan masalah tingkah laku. Tujuan utama adalah untuk membantu perkembangan bahasa kanak-kanak yang lambat adalah dengan mengubahsuai kaedah pengajaran dan pembelajaran serta penggunaan alat bantu mengajar yang pelbagai. Antara kaedah intervensi untuk morfologi adalah:

1. Kaedah skills pembinaan komunikasi iaitu satu contoh bahan komersil yang digunakan untuk memperkayakan perkembangan pembentukan kata.

2. Kaedah ‘reformulate’. Contohnya, guru memperkenalkan murid dengan perkataan kadang-kadang, semalam, esok dan sekarang mengikut situasi dan konteks yang betul supaya murid boleh menceritakan sesuatu berdasarkanmasa.

3. Latihan penggunaaan imbuhan awalan dan akhiran juga diberi penekanan agar murid dapat menggunakan penambahan imbuhan tersebut mengikut konteks ayat yang betul. Contoh: imbuhan ‘mem’ dan ‘an’. Saya membeli makanan ... Saya membeli makanan di kantin.

Dari segi sintaksis pula intervensi yang boleh dijalankan ialah dengan melakukan perubahan daripada belajar secara individu kepada pembelajaran kumpulan. Fokus pengajaran di sini guru perlulah melebihkan tumpuan kepada aspek pembinaan perkataan, membaca dan menulis ayat yang mudah. Antara aktiviti yang boleh dijalankan oleh guru kepada murid-murid ini adalah dengan penggunaan perkataan di dalam permainan bahasa.

Bagi semantik pula, langkah intervensi yang perlu diambil ialah dengan memberi penekanan kepada aspek kofnitif, linguistik, logik, persekitaran dan motivasi kepada murid. Aktiviti yang membantu ialah mengajar perkataan di dalam pertuturan dialek harian serta bahasa kiasan yang sering digunakan kerana perkataan tersebut tidak ditemui di dalam kamus.

Intervensi yang boleh dijalankan untuk komponen pragmatik ialah dengan menjalankan penilaian dan pemulihan khusus. Pemulihan yang dijalankan merangkumi aspek tingkah laku, psikolonguistik dan interaksi sosial untuk menggalakkan mereka berinteraksi dan berkomunikasi dengan penggunaan konteks bahasa yang betul. Contoh: latihan komunikasi melalui aktiviti lakonan. Latihan teknik penyoalan perlu ditekan untuk membimbing murid mengemukakan dan memahami soalan apabila diterangkan oleh guru.

Antara kegiatan pembelajaran yang sesuai dijalankan oleh guru untuk meningkatkan kemahiran bertutur di kalangan murid ialah mengadakan latih tubi sebutan untuk membetulkan kesalahan penyebutan yang telah dikenal pasti. Perbualan secara terpimpin, dialog dan soal jawab boleh dijalankan untuk memberi peluang kepada pelajar bercakap tanpa perasaan malu, takut, dan bosan. Guru juga boleh mempersembahkan satu daya kreatif berdasarkan skrip yang sedia ada atau yang dicipta oleh murid sendiri. Guru dan murid boleh membincangkan berita dan peristiwa semasa, membincang isi yang terdapat dalam satu gambar bersiri, membincang aspek-aspek satu filem atau slaid yang telah diperlihatkan.

Kebolehan menulis memerlukan kematangan urat saraf dan urat daging yang mengawal jari dan tangan. Ini amat penting untuk pelarasan bagi membolehkan seseorang menulis. Kanak-kanak sewaktu berumur dua tahun telah boleh menggunakan jari dan tangan mereka untuk menconteng dan membuat gambar mengikut tanggapan mereka. Latihan peringkat rendah menekankan aktiviti seperti melakukan latihan pergerakan tangan. Kemudian meggalakkan murid menguasai gerak tangan yang bebas suapaya mereka boleh menulis dengan selesa dan sempurna.

Dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu KBSR, kemahiran menulis merupakan objektif untuk melihat keupayaan murid menulis perkataan dan membina ayat, serta dapat mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan. Ini termasuk penulisan tentang pengalaman peribadi yang dilalui, bahan sastera serta bahan berunsur ilmu. Penulisan hendaklah menggunakan ayat yang gramatis serta tanda baca dan ejaan yang betul. Tulisan berangkai yang jelas dan cantik hendaklah digalakkan kepada setiap murid. Hasil pembelajaran bagi kemahiran menulis ialah keupayaan menggunakan pelbagai jenis ayat dan wacana, mencatat dan menyusun maklumat, menghasilkan penulisan kreatif dan bukan kreatif dan membuat ulasan.

Latihan atau aktiviti yang boleh dilakukan untuk kemahiran menulis ini ialah aktiviti seperti membuat corak, menekap dan membentuk huruf. Latihan menulis ini dikenali sebagai kemahiran menulis secara mekani kemahiran ini perlu dikuasai pada peringkat awal supaya murid dapat menghasilkan tulisan yang kemas dan mudah dibaca oleh orang lain. Ini dapat membantu murid menguasai kemahiran selanjutnya.

RUMUSAN

Terdapat banyak kategori kanak-kanak berkeperluan khas. Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dilakukan kanak-kanak berkeperluan khas sememangnya menghadapi masalah dalam bahasa dan komunikasi disebabkan oleh beberapa faktor seperti genetik dan persekitaran. Kekurangan yang terdapat pada diri mereka mengakibatkan mereka susah dan lambat mempelajari bahasa dan berkomunikasi berbanding dengan kanak-kanak normal yang lain.

Bagi kanak-kanak Sindrom Down, ciri- ciri fizikal yang dihadapi tidak boleh diubah lagi namun masalah pembelajaran yang dihadapi masih boleh dibaiki. Ciri-ciri fizikal yang dialami disebabkan oleh faktor genetik iaitu mempunyai tiga pasang kromosom pada pasangan kormosom ke 21. Ini memberikan ciri-ciri yang telah dibincangkan di atas tadi seperti bertubuh pendek, kepala kecil, mata sepet dan lain-lain lagi.

Bagi masalah lembam pula terjadi disebabkan faktor baka dan juga persekitran. Baka yang diperoleh dari keturunan yang mempunyai masalah lembam akan diperturunkan kepada anak-anak. Faktor persekitaran pula memberi kesan kepada kanak-kanak menjadi lembam kerana tidak ada perhatian dan komunikasi daripada ibu bapa menyebabkan anak kurang terdedah dengan perkataan dan interaksi dengan orang lain.

Pendidikan yang diberikan kepada kanak-kanak berkeperluan khas ini bukanlah untuk menjadikan mereka bijak cemerlang dan dipandang tinggi oleh masyarakat tetapi pendidikan yang diberikan adalah untuk memastikan kanak-kanak ini boleh menguruskan diri sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada orang lain. Pendidikan ini bukan hanya terletak di bahu guru-guru pendidikan khas malah sepatut semua pihak perlu memberi sumbangan dan galakan kepada kanak-kanak istimewa ini.

6 comments:

  1. terima kasih ...amat membantu guru j qaf utk memahami konsep

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum..nak tanya macam mane cara komunikasi kanak-kanak lembam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Berkomunikasilah dengan penuh kasih sayang dan sentiasa ingat bahawa anak ini mempunyai kekurangan dari segi kognitif untuk membuatkan kita terus bersabar

      Delete
  3. Terima kasih atas info..saya rasa saya mempunyai anak lembam..dia anak yang ke3..mmg dari semua yang saya baca diatas..memang ciri2 lembam ada padanya..pada peringkat awal 5 tahun..saya x berapa ambil berat ttg perkembangan pelajarannya..kerana dari pemikiran saya..usia 5 tahun..tak perlu terlalu fokus pd pelajaran..sehinggalah..usianya 6 tahun..perkembangannya tetap sama..seperti 5 tahun..guru tabikanya ada membritahu kemungkinan dia mengalami masalah lembam..saya tawakkal lagi..biar dia cuba masuk ke sekolah rendah biasa..start masuk darjah1..dia terus di masukkan ke kelas pemulihan..skrg dah darjah2..masih lg di kelas pemulihan...kalau saya terus refer ke hospital pakar kanak2..adakah kes seperti saya akan diambil perhatian..kerana ianya melibatkan masa depan anak saya..terima kasih diatas entry ini..

    ReplyDelete
  4. Pn boleh refer dr pakar untuk mendapatkan keputusan kategori anak pn. Pn juga boleh refer Guru P. khas untuk mendapatkan penerangan tentang program p. khas

    ReplyDelete
  5. T.kasih info..terbaik n boleh buat rujukan..

    ReplyDelete